KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) – Talentbank, peneraju utama dalam bidang kebolehpasaran siswazah di Malaysia, mengumumkan pemenang Anugerah Pilihan Siswazah (GCA) 2025 sekali gus menegaskan pengaruh suara pelajar dalam pembentukan jenama pekerjaan utama negara.
Diiktiraf sebagai anugerah penjenamaan majikan dipacu oleh pelajar yang terbesar di negara, GCA menerima 597,036 undian daripada pelajar di lebih 100 universiti, menetapkan penanda aras baharu dalam keterlibatan dan penglibatan siswazah.
Kini, memasuki tahun kelapan, anugerah berkenaan terus mencerminkan pilihan kumpulan bakat masa depan Malaysia.
GCA menghargai majikan yang cemerlang dalam bidang utama seperti pembangunan kerjaya, peluang kepimpinan, kesejahteraan pekerja dan budaya tempat kerja.
Pemenang bagi 2025 merangkumi pelbagai industri termasuk syarikat multinasional, perusahaan tempatan jenama fesyen terkemuka, gergasi teknologi, barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dan platform digital, antaranya Petronas, Shopee, Uniqlo dan Maxis.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank Ben Ho berkata anugerah itu merupakan penanda aras penting untuk majikan yang ingin menyelaraskan pendekatan mereka dengan jangkaan siswazah.
“Anugerah Pilihan Siswazah mewakili suara kolektif bakat muda Malaysia. Majikan yang mengambil perhatian terhadap pandangan ini akan mendapat kelebihan daya saing, memahami dengan tepat perkara yang diinginkan profesional muda dalam perjalanan kerjaya mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dapatan daripada kajian soal selidik GCA 2025 mendedahkan perubahan ketara dalam keutamaan siswazah generasi Z yang menekankan wujudnya ganjaran kompetitif masih penting, perkara itu bukanlah faktor utama dalam pemilihan kerjaya.
Sebaliknya, siswazah kini mengutamakan pengalaman kerjaya yang menyeluruh, dengan memberikan penekanan terhadap kerja yang bermakna, keselamatan pekerjaan, bimbingan, pertumbuhan peluang, fleksibiliti dan kesejahteraan mental.
“Organisasi yang memperjuangkan keseimbangan kerja dengan kehidupan, menawarkan latihan berstruktur dan melabur dalam kesejahteraan pekerja kini menjadi pilihan utama dalam kalangan pencari kerja,” menurut kenyataan itu.
Talentbank turut menekankan betapa pentingnya kerjasama erat dengan industri yang lebih kukuh amat penting untuk menjembatani jurang akademik dan keperluan pasaran.
Syarikat itu juga terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan rakan korporat bagi menyelaras kurikulum universiti, selaras dengan keperluan industri sebenar, sambil memacu latihan, bimbingan dan program internship.
Bagi menandakan sambutan ulang tahun, Talentbank akan melancarkan Career Playbook berbentuk fizikal dan digital yang mengandungi strategi praktikal, tip perancangan kerjaya, dan pandangan dunia sebenar untuk membantu graduan.
Undian untuk Anugerah Pilihan Siswazah 2026 kini dibuka. Pelajar universiti di negara ini dijadualkan mengundi menerusi www.graduateschoiceaward.com/vote untuk menentukan senarai majikan pilihan mereka seterusnya.
Senarai penuh pemenang GCA 2025 adalah tersedia di:
https://www.graduateschoiceaward.com/graduates-choice-of-employer-to-work-for-in-2025/